Time mencuri, Abah selalu jaga line, mak dan abg curi brg2 yg mahal. Tiba2 mak buka kain dlm kedai tu utk.

Malu nak berkongsi cerita, tapi tak dapat lagi nak pendam perasaan. Tak mengharap banyak, cuma harap sudi ada yang sudi membaca. Semoga ada abang-abang dan kakak-kakak yang boleh memberi jalan keluar kepada aku. Aku nak bagitahu awal-awal, kisah aku ini panjang, sangat panjang.

Maafkan aku. Pada tahun ini, usia aku genap 18 tahun, mempunyai 6 orang beradik (aku anak ke-4), kesemuanya lelaki kecuali aku seorang perempuan. Tinggal menetap di kawasan perumahan berhampiran dengan pusat bandar ibu negeri di semenanjung.

Ibu bekerja sebagai cleaner di universiti awam, ayah pula berkerja dipasar ikan. Kami datang dari keluarga yang miskin sederhana, tahap pembelajaran juga hanya ala kadar, tidak pandai disekolah, abang-abang tidak habis belajar, kekangan duit sememangnya.

Tapi isu malas belajar itu adalah yang paling utama. Termasuklah aku yang sedang menulis ini, aku suka menulis, tetapi aku tidak suka belajar, dengan menulis aku rasakan seperti bebas dalam dunia yang lain dari dunia aku sekarang. Dahulunya semasa kami kecil, kami tinggal dikampung rumah keluarga ayah.

Berlaku isu-isu yang memalukan keluarga, kami semua berpindah pula ke rumah keluarga rumah mak pula. Juga berlaku masalah yang sama, kami terpaksa berpindah lagi, beberapa kali perpindahan, dari kampung ke bandar, dari bandar ke kampung dan akhirnya sekian lama asyik berpindah, kami berakhir dengan menetap disini, sudah 7 tahun tinggal disini, berharap biarlah kekal.

Rumah yang diduduki ini rumah sewa sahaja, Isu yang sangat menganggu hati aku sekian lama adalah keluarga aku adalah pencuri. Kami semua pencuri. Baik ayah, mak dan adik beradik yang lain, semuanya menjadi pencuri. Aku juga tidak terkecuali menjadi seorang pencuri sebelum aku berusia 12 tahun. Telah lama aku sedar, sudah banyak kali aku ingatkan pada ahli keluarga.

Sampai bila asyik nak mencuri, cukuplah, kita bukan tak mampu dah nak cari duit beli barang, semua pun sudah bekerja. Semua pun dah ada duit poket sendiri, tapi masih lagi nak mencuri jika ada peluang. Masa kecil dahulu, memanglah seronok mencuri, mula-mula je rasa takut, tapi bila kita ada geng iaitu abang-abang, ayah, mak yang turut sama mencuri pada satu-satu masa yang sama.

Perasaan takut itu menjadi hilang dan akhirnya menjadi kebiasaan bagi kami sekeluarga. Apa yang akan aku ceritakan ini adalah, ‘aku’ yang sebelum berusia 12 tahun. Keluarga aku masih lagi mengamalkan tabiat mencuri sehingga kini, tapi tidak aku. Sudah 6 tahun aku tinggalkan dunia yang mengaibkan itu. Semasa aku kecil, keluarga kami menumpang rumah opah (mak kepada ayah).

Opah ini sudah tua, matanya pula rabun, dalam rumah pusaka itu, tinggal kami sekeluarga, opah dan paksu (adik bongsu ayah), yang masa itu belum berkahwin. Paksu ni baik sangat, rajin bekerja, tidak kedekut dengan kami anak sedara. Selalu belikan makanan dan mainan buat kami semua. Paksu bekerja dikilang papan, manakala mak dan ayah bekerja dengan ambil upah menoreh getah kebun opah dan juga beberapa orang kampung yang lain.

Opah beri kepercayaan pada ayah untuk uruskan kebun getah, tapi ayah ni selalu menipu opah, selalu menipu timbangan getah, kalau dapat hasil RM100 contohnya, dikatanya hanya RM60 sahaja.

Sudahlah lepas itu dituntut pula dari opah, upah menoreh separuh dari harga timbangan, alih-alih opah cuma dapat RM30 sahaja. Didalam rumah itu, duit lauk dan makanan, memang opah dengan paksu yang dahulukan. Duit ayah, ayah simpan dalam kepala besi katil dalam bilik.

Simpanan hari tua katanya, sebenarnya kedekut. Mak pun tak kurang juga hebatnya, mengajar kami anak-anak untuk mencuri duit opah, seringgit sehari, jangan banyak kata mak, nanti opah dapat tahu. Opah simpan duit dalam poket sarung baju dalam, duit belanja sekolah memang duit yang dicuri dari opah setiap hari, opah ni tak pandai mengira duit dan selalu lupa.

Aku kasihan sangat dengan opah, opah baik dengan aku, tapi aku mencuri duit opah. Mak cakap, mak takkan beri duit belanja sekolah. Pandai-pandailah kamu orang mencuri duit opah atau duit paksu. Sedihnya lah hidup aku.

Aku lah yang selalu tidak berduit belanja disekolah, sebab selalu tak sanggup nak ambil duit opah. Isu yang menyebabkan kami dihalau keluar dari rumah opah bila mak dituduh oleh adik beradik ayah yang lain kerana mencuri rantai opah. Opah ni memang lah sudah tua, selalu lupa tentang duit.

Tapi kalau rantai emas tu, opah ingat sangat. Rantai peninggalan atuk, opah syh9 rantai tu. Mak dengan ayah ni boleh dikategorikan sebagai pencuri amatur, tiada strategi, bertindak pula semberono. Setelah dicuri rantai opah, pergi gadai pula dipekan. Duit yang dapat itu, bukan untuk diguna pun, disimpan dikepala katil tu juga, apa salahnya kalau bersabar sedikit, ini tidak, kalut nak pergi bergadai.

Nak tengok duit berkepuk-kepuk. Rantai opah tu besar, tu yang gembira sangat tu. Pekan bukannya besar sangat, apa yang berlaku dikampung itu, boleh dikatakan, seluruh pekan lah akan tahu. Semestinya kantoi lah kan.

Orang kampung akan cerita dan cerita, ayah gadai emas, mahal beribu-ribu, sampailah ke pengetahuan paksu. Paksu maklum pada adik beradik yang lain minta pulang untuk bincang pasal hal ni. Mak dengan ayah bermatian tak mengaku. Play victim guna anak-anak, buat-buat drama cakap opah benci kami semua.

Opah pilih kasih, akungkan cucu yang lebih kaya, tak suka kami menumpang, hah, drama sungguh malam tu, menyampah pun ada tengok dengan perangai mak yang berlebihan ni. Opah tu baik sangat, tak marah pun mak dengan ayah, selama kami duduk rumah opah, tidak pernah pun opah ni marah dan benci, tak pernah pula dibezakan kami semua dengan cucu-cucu yang lain.

Mak dan ayah hanya jadikan alasan sebab nak menutup kesalahan mencuri itu kan. Adik beradik yang lain bagi peluang kat ayah dengan mak, kalau tak pulangkan rantai opah tu, minta kami keluar dari rumah opah. Sebab nak menegakkan kan benang yang basah.

Mak ayah nekad tak mengaku, tetapi buat drama sedih dengan memilih untuk keluar dari rumah opah. Hah. Drama, drama, drama, drama. Kalah drama Hindustan dengan air mata bagai. Padahal kami adik beradik tahu memang mak dan ayah yang curi rantai opah. (masa aku menulis cerita ini, opah sudah meninggal dunia, sampai habis nyawa opah pun, mak dan ayah masih lagi tidak mengaku).

Mak dan ayah kami ni pelik, suka berkongsi cerita dengan anak-anak apa yang dia buat. Lagi-lagi hal mencuri yang mendatangkan keuntungan, berbangga pula bila tunjuk hasil yang dicuri. Pelik kan.

Aku pun kadang-kadang hairan dengan mak dan ayah. Kami pun terpaksa pula menumpang dirumah nenek belah mak pula. Terpaksa tukar sekolah, persekitaran baru, kawan baru dan semuanya baru. Nenek mak ni muda sedikit dari opah, nenek ni ranggi, berjiwa muda, berkahwin kali ke-2 selepas atuk meniggal.

Nenek duduk rumah teres kos sederhana. Rumah kecil berbilik 3, nenek mak pun baik dengan aku. Aku syg semua nenek aku. Tapi malangnya, tak lama kami duduk rumah nenek, mak selalu bergaduh dengan nenek, setiap hari ada sahaja yang nak digaduhkan.

Hal yang kecil sahaja kadang-kadang. Mereka memang tak sehaluan. Bosan hari-hari dengan sikap mak yang suka bergaduh, bercakap pula perkara yang tak baik, tiada rasa malu lansung dengan jiran tetangga, tiap kali bergaduh, menjerit sana-sini, menyumpah seranah.

Macam orang hilang akal, ayah pula sebelahkan mak, tidaklah nak menasihat atau apa. Dibiar pula mak bergaduh tak tentu hala begitu. Duduk tak lama dirumah nenek, kami berpindah ke rumah sewa yang lain, taman perumahan yang sama dengan nenek, cuma lorong yang berlainan. Nak pindah jauh, akung sebab nanti terpaksa tukar sekolah, sekolah pula sudah dekat dengan rumah.

Ayah pula dah dapat kerja dengan majlis perbandaran secara kontrak. Mak masa tu berkerja sebagai pembantu kedai makan minum pagi dekat dengan rumah yang disewa. Masa mak bekerja di kedai makan sebelah pagi, mak berpesan sebelum pergi sekolah, kena datang kedai tempat mak kerja untuk ambil bekal makanan.

Kami kesekolah jalan kaki sahaja, jarak cuma 1km. Kedai makan tempat mak kerja itu, orang selalu ramai sebelah pagi. Jadi kawasan itu selalu sibuk, mak jaga bahagian bungkus nasi dan kuih muih. Aku berjalan ber-empat dengan abang, mak pesan, hanya seorang sahaja yang datang ambil bekal.

Yang lain tunggu dari jauh sahaja. Modus operandi mak mudah sahaja, bahagian yang mak jaga itu, makanan memang semua sudah siap dibungkus macam nasi lemak, nasi minyak dan kuih-kuih. Jadi, ketika tuan kedai dan pekerja leka melayan pelanggan yang makan dikedai, ketika itulah mak menyorok bekalan nasi untuk kami adik beradik.

Dibungkus siap dalam plastik dan diletakkan bersama-sama dengan makanan yang telah ditempah awal oleh orang lain. Jadi bila salah seorang dari kami pergi, kami akan mengambil makanan yang dibungkus dengan plastik yang hujungnya diikat dengan getah (petunjuk untuk tidak tertukar dengan makanan orang lain) dan terus berlalu pergi seperti tiada apa-apa berlaku.

Sadiskan.. makan pun nak mencuri, sebab tu semua anak-anak bodoh, belajar tak pandai, macam aku, dari kecil makan makanan hasil curi, bebal otak nak belajar. Semua ilmu bagai ditepis-tepis dari masuk kekepala ni. Mak ni, kalau tak tahu perangai dia mencuri dia.

Semua orang cakap yang dia sangat rajin, baik hati dan peramah pula. Dia mudah didekati dan disenangi semua orang kerana dia ringan tulang membantu orang yang perlukan pertolongan terutamanya masa kenduri kendara. Jika hari kenduri kendara, dialah yang paling awal datang dan yang paling terakhir tinggalkan tempat rewang, sebab itu dia amat disukai semua orang dikawasan perumahan yang kami tinggal itu.

Sikap dia yang baik dengan semua orang itu, mengaburi sikap mencurinya yang sebenar.Jikalau ada hari kenduri ditaman perumahan, aku lah yang paling bimbang dan tak tentu arah. Aku bukan apa, aku bimbang dia terkantoi sahaja. Aku taknak dia dimalukan. Pada waktu-waktu macam itu, bekalan keperluan rumah akan lengkap untuk berminggu kerana mak.

Jika berpeluang, dia akan mencuri apa sahaja bekalan kenduri seperti gula, teh, susu, lada kering, minyak masak, hatta garam yang 50sen pun diangkutnya. Kami anak-anak inilah yang dikerah untuk berulang-alik mengambil barang yang dicurinya satu persatu.

Kanak-kanak lain asyik bermain, kami adik beradik asyik mencuri. Ayah pula, selalu bawa balik barang dari tapak pembuangan sampah. Kadang-kadang diambil barang dari rumah-rumah ketika membersihkan kawasan taman perumahan, dia akan mngambil barang yang berpeluang untuk diambil tanpa disedari, dia akan menyorok dahulu barang itu disuatu tempat, kemudian akan mengambilnya bila dalam perjalanan balik nanti.

Setiap hari ada sahaja yang dibawa balik, kasutlah yang paling banyak, baju dan seluar juga ada. Pernah sekali itu, dia bawa balik beg sekolah yang tertinggal diluar pagar rumah orang. Kenapa nak ambil beg sekolah, bukan boleh dijual pun.

Tapi disebabkan tabiatnya yang suka mencuri itu, boleh jual atau tidak, itu perkara kedua, yang penting, ambil dulu, fikir kemudian. Belum lagi masuk cerita kami pergi membeli di shopping kompleks. Masa dulu-dulu, aku b0doh, seronok sangat kalau dapat keluar shopping kompleks, sebab dapat mencuri barang-barang. Mak ayah akan pilih pasaraya atau kedai-kedai yang tiada cctv, tiada scanner keluar masuk dekat pintu, pekerja yang tidak mengekor kita semasa membeli dan yang kurang pelanggan pada satu-satu masa.

Selalunya kedai yang dekat taman perumahan inilah yang terkena, tokey kedai seorang lelaki cina yang sudah tua, pekerjanya pula hanya 2 orang warga Indonesia, seorang jaga didalam kedai dengan tauke, yang seorang lagi bantu uruskan sayur dan ikan dekat bahagian luar.

Kalau pergi kekedai, tidak akan pergi keseorangan, semestinya berdua atau bertiga paling kurang. Mudah nak urusan mencuri. Ayah akan alih perhatian tokey kedai, pura-pura berborak, sebab semua kenal satu-sama lain. Mak dan abang, akan masuk mencuri didalam kedai. Mak akan pakai kain yang dicantum dari 2 helai kain yang kemudian diubah suai menjadikan satu helai kain yang mengunakan 2 pelapik getah dipinggang, kain disebelah dalam dijadikan seperti kantung untuk menyimpan barang yang akan dicuri. Mak buka kain dan simpan brg di dalamnya.

Begitulah usahanya mak dan ayah untuk merealisasikan tabiat mencurinya. Dari pencuci muka, berus gigi, ubat gigi sehinggalah ke minyak wangi, bedak dan sebagainya, mak dan ayah tidak pernah membelinya. Semua diperolehi dari mencuri. Yang tidak dapat dicuri hanyalah barang-barang asas yang besar seperti beras, gas, barang-barang plastik. Jika masuk ke shopping kompleks yang ada scanner di pintu masuk, beg tangan mak akan dialas keliling dengan aluminium foil disebelah dalam.

Untuk menyekat imbasan dipintu masuk. Sememangnya berjaya, tidak pernah dikesan hatta walau sekali. Jika baju atau seluar yang ada tag besi, ayah memang siap sedia dengan magnet untuk buka kuncinya. Masa kecil aku, begitulah, baju raya ada yang dicuri, ada yang dibeli, tapi kalau kasut raya, sememangnya dicuri, kami akan pilih kasut raya digedung macam Mydeen.

Mydeen yang selalu kami pergi ini, ada kemudahan tandas disediakan untuk pelanggan. Sistem keselamatan tidak ketat, dilaluan untuk ketandas, tiada yang menjaga, jadi selalunya disitulah kami akan menukar kasut dan selipar yang dicuri. Jika selipar asal itu sudah buruk, kami buang sahaja di dalam tong sampah di tepi tandas.

Macam aku cakap tadi, system keselamatan tidak ketat, orang yang suka mencuri macam keluarga kami ini, peluang macam itu memang cukup sempurna dah.

#baca sambungan cerita part 2 (akhir) , klik link pada ruangan komen.

– akak (Bukan nama sebenar) – iium confexion

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *