Mak hilang selera makan. Perut mak kembung semacam. Adik syak sesuatu xnormal berlaku Allahu.

Assalamualaikum / Salam sejahtera. Nama aku Din. Tulisan ini lebih kepada luahan kerinduanku pada insan bernama emak atau ibu.

Jika ada yang baik mohon diambil pengajaran. Jika ada yang buruk, aku mohon maaf. Ini sekadar luahan isi hati. Emak bukanlah insan hebat dipandangan manusia kebanyakan.

Ya benar, jika kayu ukur bagi kehebatan manusia itu pada tahap akademik, status sosial atau kekayaan. Tapi dimata aku, emak adalah manusia terhebat. Kasih emak tiada gantinya. Emak telah pergi meninggalkan aku pada tahun lepas (2019) setelah didiagnosed dengan kanser untuk kali kedua (recurrent).

Emak abah telah menunaikan haji pada tahun lepas. Ketika haji, emak kurang selera makan.Aku sangkakan itu sebab kerana perbezaan makanan. Yalah, emak dulu pernah hilang selera makan ketika umrah kerana tak biasa dengan masakan orang Arab sana. Tapi sebenarnya ini adalah tanda bahawa knser mak telah mula merebak (metastasis).

Setiap tahun review di hospital, namun progression knser mak tak dapat dikesan. Mungkin Allah ingin izinkan mak pergi haji sebelum menjemputnya. Bila emak sudah pulang dari haji, selera mak masih tiada. Masih lagi kami menyangka mungkin emak mengambil masa untuk biasakan dengan masakan makanan orang melayu.

Sehinggalah suatu hari, September 2019, adikku yang bekerja sebagai doktor perubatan mengesan perut emak yang kembung. Mengesyaki ia bukan suatu yang normal, emak dibawa menjalani ultrasound. Sejak itu, emak dibawa ke ulang alik ke hospital awam dan swasta untuk investigation dan diagnosis.

Dari hospital kerajaan di Johor, Institut knser Negara dan akhir sekali di Hospital UKM. Perjalanan dari mula investigations hingga rawatan kemoterapi memang panjang. Prosuder dan komplikasi bersilih ganti. Begitu juga semangat aku. Ada turun dan naik. Ada ketika diberi harapan, dan ada ketika dihancurkan harapan yang diberi. Berita baik dan buruk berselang seli. Diagnosis dengan knser yang sudah merebak ke 8 tempat, dengan umur warga emas, aku merasa kurang keyakinan apakah mak boleh sembuh.

Badan mak mula kurus, berat badan menyusut.Saat aku mengangkat tangan, lidah ku kelu. Aku ingin berdoa semoga mak sembuh tetapi bisik kecil hatiku kurang yakin. Bukan kurang keyakinan dengan kekuasaan Allah, tetapi kerana berdasarkan hukum sains, sebab-musabab dan prognosis, kebarangkalian untuk sembuh itu rendah.

Aku hanya mampu menangis dan berdoa “Ya Allah..janganlah Kau ambil nyawa mak..sehinggalah Kau telah redha dia sebagai ahli syurgaMU”. Itulah doa yang ku ulang-ulang saban waktu.

Tak siapa ingin kehilangan mak, tapi aku tak boleh biar kerisauanku melupakan suatu yang lebih penting dari soal hidup atau mati, iaitu kehidupan di akhirat sana. Kejayaan disana, itulah sebenar-benar kejayaan. Satu ketika yang tak mungkin aku lupakan ketika di meja makan, mak cakap “ Nanti kalau mak dah sembuh, mak makan banyak-banyak biar gemuk balik”.

Inilah ucapan mak yang tak mungkin aku lupa, kerana ia menyentap perasaanku, menyedarkan betapa hebatnya mak berjuang melawan knser. Sepanjang mak terlantar di hospital, kami adik beradik bersilih ganti menjaga mak.

Ia membawa aku mengimbau kenangan dulu yang selalu buat aku sedih dan rindu pada mak. Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana susah. Tinggal di rumah teres kos rendah. Abah bekerja sebagai pemandu lori. Mak pula surirumah sepenuh masa. Ambil upah menjahit kecil-kecilan. Waktu kecil, aku selalu minta mainan. Kalau mak ada keluar ke kedai, aku selalu tertunggu mak akan bawa balik mainan.

Masa kecil kan, mana tahu erti susah senang cari duit ni. Waktu umur 6 tahun tak silap, aku ikut mak bersama jiran dan anaknya ke shopping complex. Aku minta mainan pada mak. Mak tak dapat belikan dan aku pula merajuk sepanjang itu. Mainan cuma berharga RM2 saja. Bila aku dah dewasa sampai dah beristeri pun, mak masih bercerita tentang peristiwa tu.

Mak kata mak malu dengan jiran mak sebab tak mampu. Mak kesian dengan aku dan sedih tak tunaikan keinginan aku. Mak masih ingat walaupun dah 20 tahun berlalu. Ketika aku berumur 12 tahun, ramai kawan-kawan bawa Digimon ke sekolah. Aku minta 1 pada mak abah.

Abah marah sebab aku berkeras nak juga. Seingat aku rasanya harga dalam RM36. Itupun tiruan punya. Mak belai-belai kepala aku pujuk saat aku menangis kena marah. Selang beberapa hari, mak bagi aku duit untuk beli mainan tu dari kedai yang dekat dengan rumah aku.

Pastinya itu simpanan upah jahit mak yang tak seberapa. Aku bersekolah menengah di sekolah berasrama. Hari pertama daftar Tingkatan 1 jauh dari rumah sekitar 250km. Aku masih terpinga-pinga tak biasa di tempat baru. Aku terlepas makan petang di dewan makan. Malam tu aku call mak.

Masa borak, aku beritahu aku lapar sebab tak makan. Mak tak tunjuk pun mak sedih. Tapi lepas dah 5 tahun pun mak masih ingat peristiwa tu. Mak kata mak masa tu kenyang baru lepas makan. Luluh hati mak bila tahu aku lapar dan rasa mak rasa macam nak muntahkan balik apa yang makan. Ketika aku di tingkatan 3, aku pernah hilang duit.

Aku diamkan tak nak beritahu mak. Tapi entah naluri seorang ibu mungkin boleh rasa, bila balik hujung minggu mak tanya, duit ada lagi tak. Aku diam sebab tak tahu sama ada nak berterus terang atau tau. Tapi mak dapat mengagak mesti duit aku hilang. Mak kata itu duit upah jahit mak 2 minggu.

Mak tak marah, tapi aku tahu mak kecewa. Mak tahu aku suka ikan sambal manis. Setiap kali pulang bercuti dari universiti, mak mesti akan masak lauk tu. Sehingga aku dah bekerja. Jauh dari rumah. Tapi setiap kali aku pulang ke rumah ketika hujung minggu, lauk kegemaran aku tu pasti mak masak.

Seorang mak pasti ingat makanan kegemaran anak- anaknya. Cerita adik ku, waktu mak sakit, mak ada kata “Tak apalah mak tak ada harta, asalkan anak mak ada harta”. Mak merujuk pada tanah kebun yang mak wariskan pada adik beradikku. Allah.

Sehingga saat genting macam ni, mak masih fikir tentang anak-anaknya? Aku anak emak. Waktu sekolah rendah, selalu baring bawah ketiak mak bila mak baring. Sampai aku meningkat dewasa pun aku selalu cium mak. Cium di pipi, ketiak, lengan, kepala. Waktu mak masak, aku suka cium belakang kepala mak, masukkan rambut mak dalam mulut sampai basah rambut mak.

Sampai mak kata “Macam baby mak ni dibuatnya”. Sekarang aku dah beristeri dan punyai seorang anak. Benarlah kata orang, kita tak akan memahami perasaan seorang ibu atau ayah sehinggalah kita ada anak.

Walaupun kita pejam mata dan cuba bayangkan perasaan tersebut, ia tetap tak akan sama. Jadi bila aku bersama anak, rasa sayang aku pada anak buat aku dapat merasakan macam mana sayangnya mak pada aku. Mandikan anak, suap makan, bermain dengan anak, pujuk anak merajuk, dodoi anak, bergelak dengan anak, semuanya membawa aku ingat macam mana sayangnya mak pada aku.

Mudah kata, bila aku bersama anak, ingatan bersama mak akan muncul bersama. Tiada hari yang berlalu tanpa aku memikirkan tentang mak. Aku percaya ramai yang ada perasaan begini apabila sudah bergelar ibu atau ayah. Emak pergi setelah dos pertama kemoterapi masuk ke dalam badan.

Walaupun semangat mak kuat namun jasad mak tidak mampu lagi berjuang. Sedih kehilangan mak, tapi aku percaya Allah telah makbulkan doaku. Kesakitan yang mak hadapi tidak lain hanya untuk mengangkat darjat mak disisi Allah.

Emak pergi dengan tanda-tanda husnul khatimah. Mak seorang sangat menjaga solat wajib dan sunat, selalu membaca Al-Quran dan selalu bersedekah. Mak seorang yang lembut, penyabar dan disayangi rakan dan jiran. Aku percaya kehidupan yang indah untuk mak menanti di sana. Hebatnya kasih seorang mak.

Setiap peristiwa gembira atau sedih yang berlaku pada anaknya, ia tersimpan kemas dalam memorinya. Walaupun bertahun lamanya ia berlaku, mak boleh ingat satu-persatu. Itulah mak. Insan yang sentiasa memikirkan tentang anak-anaknya melebihi diri sendiri. Sehingga ke akhir hayat, mak tetap wanita terindah dalam hidupku.

Melupakan mak adalah mustahil. Hanya jasad mak yang tinggalkan bumi ini, tetapi kasih sayang dan jiwa mak tetap hidup dalam hatiku, untuk selamanya. – Din (Bukan nama sebenar) kredit : iium confession

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *