Sugu Pavithra Si Penakluk hati rakyat Malaysia . Hingga Sazali Samad pun cuba resepi beliau.

‘Sugu Pavithra’ tambat hati rakyat Malaysia menerusi video masakan berbahasa Melayu.

Sepasang suami isteri tidak menyangka perkongsian video memasak pelbagai menu dengan bertutur dalam bahasa Melayu berjaya menambat hati rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan peringkat umur.

S.Pavithra, 28, dan suaminya M.Sugu, 29, yang berjinak-jinak sebagai YouTuber menggunakan nama ‘Sugu Pavithra’ sejak Januari lalu, sudah mempunyai seramai 160,000 pelanggan sekali gus menjadikan mereka sebagai Rakan YouTube.

Pasangan yang tinggal di kuarters ladang kelapa sawit di sini itu juga boleh menarik nafas lega kerana sebagai Rakan YouTube, mereka mampu memperoleh pendapatan sampingan bulanan dengan bayaran mengikut mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD).

Pavithra yang mempunyai perwatakan lemah lembut serta petah berbahasa Melayu itu berkata dia mula memuat naik video masakan di YouTube selepas mendapat saranan daripada seorang rakan baik yang juga seorang YouTuber.

“Menu pertama adalah ikan tilapia bakar dan saya tunjukkan cara-cara memasak dengan mengggunakan bahasa Melayu. Dalam masa empat hari sahaja seramai 5,000 telah mengikut akuan YouTube saya dan selepas itu telah dapat e-mel daripada YouTube untuk menjadi rakan,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Pavithra, ibu kepada dua anak yang berasal dari Buntong, Ipoh berkata dia dan suami tidak menyangka ramai yang menonton video memasaknya serta terus melanggan, dan dianggap sebagai dorongan untuk mereka terus menghasilkan bahan lebih menarik.

“Saya pandai cakap bahasa Melayu jadi tidak salah kalau saya buat video memasak dalam bahasa ini. Kalau saya cakap bahasa Tamil tidak semua faham, jadi saya pilih gunakan bahasa Melayu biar semua rakyat Malaysia boleh tengok dan faham.

“Paling menyeronokkan dan memberi semangat apabila ramai yang memberikan komen positif dan meminta saya teruskan usaha ini. Tidak kurang juga ada yang minta kami tunjukkan cara masak makanan India, ini sangat menyeronokkan,” katanya.

Tambah menarik dan teruja apabila ada selebriti tanah air yang bukan sahaja mengikuti akaun YouTube mereka malah turut mencuba resepi itu dan kemudian berkongsi di akaun laman sosial masing-masing sambil menyatakan ia adalah idea ‘Sugu Pavithra’.

Antara yang mencuba resepi ‘Sugu Pavithra’ adalah atlet bina badan negara, Sazali Samad dan YourTuber Jepun ‘IChang RM’ dengan memasak kari ayam.

Pavithra berkata dia dan suami memilih untuk memasak makanan mudah antaranya terung bulat tumis belacan, kuih ketayap dan kangkung tumis dengan bahan digunakan biasanya ada di dapur setiap rumah agar lebih ramai mencuba resepi yang dikongsikan.

Satu yang menarik mengenai Pavithra, dia tidak memerlukan peralatan yang banyak atau canggih untuk memasak, tapi cukup dengan satu kuali, sudip dan dua periuk termasuk satu periuk untuk memasak nasi.

Malah, untuk merakam aksinya di dapur, Pavithra hanya menggunakan telefon pintar yang diletakkan di atas cawan di tempat kukuh, tapi tetap menghasilkan klip video yang cantik dengan bantuan suaminya.

“Jika suami masak, saya yang banyak bercakap termasuk kenalkan bahan-bahan dan cara-cara kerana suami pemalu,” katanya, memaklumkan tugas menyunting klip video dibuat selepas makan serta dua anaknya tidur.

Pasangan suami isteri itu bagaimanapun tidak menganggap diri sebagai selebriti sebaliknya masih Sugu dan Pavithra yang sama, dan meminta orang ramai terus mengikuti serta mencuba resepi yang dikongsikan.

Menuru Mstar , teman teringin nak makan gulai kari ikan India dan terus buat carian video tutorial cara memasak di YouTube dan mendapat suggestion video berjudul ‘Masak Kari Ikan With Mak Mentua Tersayang’.

Video dari channel sepasang suami-isteri menggunakan nama Sugu Pavithra itu menarik perhatian teman kerana ia bukan sahaja menunjukkan proses memasak kari ikan dengan mudah tetapi teman terhibur dengan gelagat Pavithra bersama ibu mentuanya ketika di dapur.

Tersentuh hati teman apabila si suri rumah sepenuh mana, Pavithra beritahu ibu mentuanya, belanja beli ikan tenggiri yang disifatkan sebagai mewah selepas dapat gaji untuk makan ‘besar’ bersama keluarga.

Kesudahannya, kari ikan ke mana, apa ke mana, teman terbaring berjam-jam atas katil menonton video lain di saluran itu yang baharu diwujudkan sejak sebulan lalu!

Penulis bukan sahaja tertarik dengan masakan disediakannya tetapi juga kagum dengan kebolehan Pavithra berbahasa Melayu dengan baik ketika rancak bercerita tentang menu dan cara memasak sesuatu hidangan.

Jangan terkejut! Meskipun baharu sahaja sebulan memulakan saluran itu, ia telah pun mendapat 13,000 pengikut dengan purata 40,000 tontonan setiap video.

Jujurnya, teman boleh faham mengapa saluran Sugu Pavithra mampu meraih perhatian kerana ramai (termasuk penulis) terusik dengan keikhlasannya menyediakan menu untuk pengikutnya.

Daripada pandangan kasar, Pavithra sekeluarga yang menetap di sebuah estet di Sungai Siput, Perak itu bukanlah datang daripada keluarga berada namun keluarga ini berjaya mengusik hati penonton.

Biarpun tidak mewah, seronok menonton kegembiraan anak-beranak ini mengutip cili dan pucuk paku di kebun, membeli-belah barang masakan di pasar serta gelagat dua anak lelaki mereka.

Mereka bukan orang kaya tapi apa dipaparkan sudah cukup mengingatkan kita tentang kebahagiaan dalam hidup.

Malah ramai kagum dengan kesungguhan dan sikap penyayang suami Pavithra yang bekerja di ladang iaitu Sugu turut mahir memasak dan tidak kekok membantu isterinya di dapur.

Kehidupan mereka mungkin tidak mewah tetapi pasangan ini ‘kaya’ dengan kasih sayang, kebahagiaan dan hormat menghormati – ia turut jelas menerusi keperibadiaan anak mereka yang sopan dan mendengar kata.

Menjengah ke ruang komen, MasyaAllah! Ia cukup berbeza dengan apa teman baca di Facebook atau Instagram yang kebanyakannya ‘bercakar’ antara satu sama lain hanya kerana perbezaan idealogi politik.

Sudah agak lama rasanya teman tak nampak ruang komen yang penuh dengan komen positif serta kekaguman mereka terhadap keluarga kecil ini. Paling penting komen ini datang dari rakyat Malaysia pelbagai bangsa.

Keluarga kecil ini mungkin bukan sesiapa tapi kerana kecintaannya terhadap masakan, ia telah menyentuh dan menyatukan ramai pengikutnya dalam menghargai sebuah kehidupan.

Terima kasih Sugu dan Pavithra kerana menyedarkan dan membuka mata teman tentang apa yang penting dalam kehidupan kita yang singkat ini – kegembiraan, kebahagiaan dan keluarga.

Oh, teman dah cuba masak kari ikan yang diajar Pavithra… memang sedap!

Sumber : BERNAMA & MSTAR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *