Bru seminggu kahwin, aku rasa nak crai. Suami jarang2 sentuh aku, pakaian dia selekeh sbb nk smbunyikan sesuatu

*gambar sekadar hiasan

Assalamualaikum WBTh. Apa yang saya luahkan ini sekadar saya nak berkongsi rasa dan pengalaman yang saya alami. Dalam masa yang sama saya perlukan pendapat dan padangan daripada warga pembaca. Saya kenalkan nama saya Ainur. Saya berasal daripada utara tanah air. Saya berusia 24 tahun dan suami berusia 30 tahun. Kami baru melangkah kealam rumah tangga hampir 2 bulan. Saya dan suami memilih untuk bernikah atas rasa suka sama suka.

Hampir 7 tahun kami berkenalan dan akhirnya Allah mudahkan jalan untuk kami melangkah ke alam rumah tangga. Saya berkerja sebagai seorang penjawat awam, hampir 2 tahun saya berkerja. Alhamdulillah, walaupun macam-macam keadaan dan dugaan yang saya lalui untuk dapatkan kerja yang sesuai, Allah Maha Baik dan mudahkan segalanya.

Hampir 2 bulan saya mendirikan rumah tangga. Saya tak tahu sama ada ni semua permainan syaitan, nafsu atau perasaan. Suami saya berkerja sebagai kakitangan swasta. Saya berkenalan dengan suami masa usia saya mencapai 19 tahun. Sedia maklum, perkenalan yang bertahun panjangnya ini sudah-sudah tentu ada pelbagai onak duri, dugaan dan badai yang akan melanda.

Saya dan suami mempunyai latar belakang yang sangat berbeza. Keluarga saya boleh dikatakan agak senang, keluarga suami pula sebaliknya. Suami bukan seorang yang berpendidikan, anak nakal, ponteng sekolah, pergaulan dengan geng-geng rempit, ada sejarah pernah hisap gam dan ambil dadah waktu sekolah dulu.

Rupa? Biasa-biasa saja. Kerja? Pun biasa-biasa juga. Saya pulak sebaliknya. Seorang yang agak pendiam dan pemalu, saya berjaya memegang segulung diploma, bukan seorang yang suka bergaul bebas dan agak penakut. Saya masih dikategorikan sebagai perempuan yang ada rupa.

Tak terlalu kurus dan tak terlalu gemuk. Ada yang kata saya tak layak untuk suami saya sebab perbezaan yang sangat ketara antara kami. Tapi kenapa saya masih memilih dia? Ada ‘sesuatu’ pada suami yang tak ada pada orang lain.

Kisah silam dia saya tahu setelah hampir 3 tahun kami berkenalan. Pada awal perkenalan mungkin saya agak naif dan baru pertama kali saya cuba nak berkenalan dengan lelaki jadi saya tak ambil berat soal latar belakang dia. Tapi setelah 3 tahun baru saya tahu segalanya.

Remuk, kecewa dan takut. Tapi, saya cuba pandang sisi baik dia. Walaupun dia ada kisah silam begitu, sekali pun tangan dia tak pernah hinggap pada aku. Meninggi suara pun tidak, gaduh kecil/ besar kalau salah saya sekalipun dia yang akan mengalah dulu.

Tak pernah ada isu dia pergunakan saya dari segi wang ringgit atau kemudahan lain. Dia sangat mendengar kata. Pendengar masalah saya yang setia, bila dia ada duit lebih dia akan usahakan untuk belanja saya makan.

Walaupun saya tahu status kerja dan keadaan dia, saya tak pernah mengharapkan duit ringgit dari dia. Saya ada satu sikap sangat sensitive dan kuat merajuk. Tapi panas saya tak lama, sejuk saya cepat bila dia mengalah.

Saya terlalu tagih perhatian dia mungkin. Dia berkerja sangat kuat sebab nak halalkan aku. Ramai yang tegur perubahan dia lepas dia berkenalan dengan aku. Dia selalu cakap saya terlalu sempurna untuk dia, dia tak layak untuk aku. Dia juga pernah lalui fasa putus tunang.

Bekas tunang dia seorang yang kaki kikis dan pilih untuk tinggal dia bila dia susah dan tak ada apa-apa. Bertunang hanya untuk dipergunakan. Allah kurniakan satu rasa kasihan yang sangat besar dalam hati aku.

Rasa kasih bila tengok diri dia. Dia layak rasa bahagia juga. Dia susah saya bantu. Saya cuba bangkitkan semangat dia. Saya masak macam-macam untuk dia. Belikan hadiah/ kek bila hari jadi dia. Belikan pencuci muka bila muka dia naik jerawat teruk.

Tegur cara berpakaian dia bila dia selekeh. Kadang-kadang saya belikan baju. Saya berpegang pada prinsip susah senang sama-sama. Saya usaha untuk jadi yang sempurna untuk dia. Walaupun dia bukan ada apa-apa. Saya boleh memilih untuk tinggalkan dia.

Tapi tak tahu kenapa bila nampak sisi baik dia saya memilih untuk teruskan hubungan ni. Dialah satu-satu “bestfriend” yang saya punya. Bergaduh baik putus baik semula. Dah menjadi rutin dan adat dalam percintaan kami.

Mana ada hubungan yang sempurna kan? Makin meningkat dewasa dan berjumpa dengan pelbagai orang saya mula memikirkan tentang masa depan. Jodoh pilihan kita cerminan masa depan. Kata orang nak cari jodoh, carilah yang menjamin masa depan.

Sebab saya tahu dengan cinta saja takkan boleh beli beras dan lauk. Mendengar kisah dan cerita orang yang bercerai berai disebabkan oleh kesempitan duit buat saya takut juga. Tipu kalau saya tak cuba membandingkan dia dengan orang lain, bila saya dah sambung pengajian, saya berjumpa dengan lebih ramai lelaki yang lagi sempurna.

Ramai yang ada rupa, berpendidikan. Saya boleh pilih, tapi entah. Allah tetap palingkan hati saya pada suami saya waktu tu. Adakala saya rasa marah dengan diri sendiri kenapa saya pilih dia? Saya sedar waktu tu, kaya dan rupa juga bukan kayu ukur bahagia yang sebenar.

Ada yang berpendapat umur setara saya masih setahun jagung dan belum matang untuk mendirikan rumah tangga. Terutamanya mak aku. Sebelum saya pasang niat nak kahwin, mak selalu berpesan “kahwin ni bukan untuk seronok-seronok” “Kahwin tak seindah yang adik rasa” “Tak kahwin lagi, kita takkan kenal sisi diri dia yang satu lagi”

Persetankan semua ni. Saya cuma nak halalkan hubungan yang haram ni saja. Ujian dan badai sepanjang perkenalan sudah memadai untuk saya kenal siapa suami aku. Tapi setelah hampir dua bulan bernikah. Saya mula timbul macam-maca rasa. Saya rindu keluarga aku.

Walaupun tak jauh mana, saya mula rasa saya perlukan keluarga saya lebih dari suami saya sekarang. Dengan hasil titik peluh suami, kami selamat bernikah. Nikah saja tanpa kenduri-kendara. Saya nak mudahkan suami.

Duit mas kahwin aku, saya minta lebih sebab saya dah niat awal-awal lagi untuk gunakan duit tu untuk beli keperluan rumah. Naif sangatkah aku? Lurus sangatkah aku?

Saya nak suami rasa bahagia dan mudah sebab saya mengharapkan balasan bahagia dari dia semula nanti. Tapi tidak. Semuanya jadi tak kena. Saya mula makin baran bila dah tinggal sembumbung. Saya mula rasa tak kena pasal dia. Semua benda saya kena tegur.

Baik cara berpakaian, sampaikan pencuci muka saya kena belikan lagi, kalau tidak, dia takkan kisah. Sebelum kahwin, dia dah janji akan berhenti rokok, tapi saya silap. Saya sampai memilih untuk karang whatapps panjang-panjang untuk ingatkan dia.

Dia mengalah dan minta maaf tapi saya jadi sakit hati walaupun dia minta maaf. Dia mula jarang-jarang sentuh aku. Sentuhan manja tu makin lama makin tak terasa ikhlasnya. Apa yang tak kena? Dia dah tak bernafsu tengok saya ke? Dia selalu beralasan tak cukup duit, tapi rokok masih dibakarnya.

Nafkah dia tak culas tetap bagi, cuma dia akan kerap keluar rumah untuk buat ‘partime’ di kedai makan kawannya untuk tampung keperluan lain. Saya sunyi dan mengharapkan perhatian dia. Sebulan nikah, saya pernah bergurau “ Macam mana kalau sayang mengandung?”

Dia geleng dan balas tak mungkin. Saya sangat terasa hati. Saya cuba positifkan diri mungkin sebab dia belum bersedia. Tapi kenapa mesti dia respon dengan jawapan yang macam tu? Rumah mak mertusaya agak dekat dengan taman perumahan kami.

Saya jadi penat dan letih bila setiap minggu ke rumah mak dia. Tak tahu kenapa saya mula rasa rimas dan tak kena. Nak melayan karenah mertua tapi dalam masa yang sama saya hilang perhatian dari suami, tak macam mula-mula bercinta. Mertua saya asyik-asyik suruh ke rumah dia.

Seolah-olah tak memahami. Suami pula tak memahami keadaan saya dan mula berpihak pada maknya. Luah masalah dan rasa dah tak macam zaman bercinta dulu. Bila saya merajuk suami saya mula pujuk dan peluk.

Tapi, entah… rasa damai tu sekejap sangat. Lepas tu hilang. Ada apa yang tak kena sebenarnya? Naluri dan pemikiran saya mula memberontak nak mengungkit-ungkit kebaikan yang saya dah bagi pada suami. Kenapa? Saya mula salahkan diri saya sendiri.

Saya makin rasa suami saya menjengkelkan, menyusahakann dan menyakitkan hati. Seminggu nikah, saya mula memendam rasa. Entah kenapa timbul semua rasa ni. Hampir dua bulan nikah, saya belum ada tanda-tanda mengandung. Saya jadi takut sedih dan benci.

Entah apa lagi ujian perkahwinan akan datang? Saya salah memilih suami? Atau semua rasa ni normal untuk pasangan yang baru berkahwin Semalam kami bergaduh besar,suami ajak “sit down” dan berbincang.

Saya mula mengungkit semua benda, lama saya pendam saya jadi sakit. Suami saya mula meninggi suara, dan katakan saya kurang ajar. Mungkin cara percakapan dan luahan saya melampau dan menyakiti dia. Tapi sedarkah dia siapa punca?

Dia terus keluar rumah tinggalkan saya dengan tangis. Saya terus whatapps suami minta crai. Ya Allah, berdosakah aku? Jiwa dan hati saya tak tenteram sejak malam pertama. Saya taknak timbul rasa sesal. Cuma saya mengharapkan Allah hilangkan kekusutan yang melanda hati ini.

Apa sebenarnya yang saya perlu buat? Adakah ini ujian rumah tangga sebenar? Atau semua ni berpunca daripada saya sendiri. Apa saya perlu buat? Saya buntu sebenarnya. Saya tak tahu dari mana saya perlu perbaiki.

Bila duduk berbincang asyik nak bertekak akhirnya. Sungguh saya mengharapkan yang baik-baik dalam perkahwinan ni. Hubungan percintaan yang panjang ni, saya masih ada rasa sayang.

Tapi entahlah kusut saya rasa bila mahligai yang dah terbina ini seakan tak kena binaanya. Apa perlu saya buat?

– Ainur (Bukan nama sebenar)

Antara komen ntizen :

Aiman Hafiz : Saya cari jodoh yang sekufu dengan saya. Sekufu bukan dinilai melalui umur kerana isteri saya 42 dan saya 35. Sekufu tidak dinilai melalui kerjaya kerana isteri saya doktor dan saya petani. Sekufu tidak dinilai melalui pendidikan kerana isteri saya mempunyai master dan saya hanya degree. Tapi sekufu ini dinilai dari 2 perkara sahaja pertama akhlak manusia dan kedua penerimaan keluarga.

Sebagai contoh saya merupakan pendokong kehidupan adik saya yang menghidap penyakit mental sebelum ini. Jadi saya pilih isteri juga dari kalangan wanita yang mempunyai sejarah menghidap penyakit mental.

Ini tujuannya untuk memudahkan kehidupan saya sebagai seorang ketua keluarga. Kerana ianya hanya perlu berada dalam circle yang sama sahaja yakni circle pesakit mental.

Seminggu selepas saya berkahwin. Isteri saya mula menunjukkan sikap yang tidak baik pada saya. Selepas dia pulang bekerja tiba – tiba dia naikkan suara dan memarahi saya tanpa sebab.

Apa yang saya buat ketika itu?

Sebagai seorang lelaki yang sudah dibekalkan dengan ilmu. Bahkan sebelum ini sudah 12 tahun berada dibelakang kehidupan adik saya yang menghidap penyakit mental. Jadi berbekalkan ilmu dan pengalaman saya mengambil jalan untuk meredakan persekitaran itu dari memuncak.

1. Saya muhasabahkan diri dan menyatakan pada diri yang marahi aku ini isteri aku bukan musuh aku. Bahkan aku juga pilih dia yang datang dari kalangan bekas pesakit mental.

2. Saya diam dan saya duduk sambil mendengar apa yang isteri saya membebel sehingga selesai.

3. Saya datang padanya dan hulurkan tangan untuk meminta maaf walaupun tak pernah buat salah.

4. Saya tinggalkan dia keseorangan supaya mampu tenangkan fikiran dan saya pergi ambil wuduk serta terus buat kerja lain.

5. Bila keadaan dia sudah mula reda. Saya pergi duduk disisinya dan tanya secara baik. Apa tekanan di tempat kerja sampai bawa masalah ke rumah.

6. Saya akan beri nasihat padanya apa kesan di dunia dan akhirat jika naikkan suara pada suami.

7. Ketika dia tidur saya akan baca doa mahabbah yang diambil dari surah ali Imran ayat 31. Kemudian saya tiupkan doa itu ke mukanya, dalam telinganya dan ubun-ubun kepalanya.

8. Ketika dalam perjalanan menghantar isteri saya di tempat kerjanya. Saya akan ajar cara menguruskan psikologi secara baik bila berhadapan dengan tekanan di tempat kerja.

9. Akhir sekali saya maafkan dia dan berharap pada Allah supaya dia berubah.

Usaha saya ini mengambil masa 1 tahun 8 bulan. Selepas dari itu isteri saya sudah berubah.

Hari ini dia pula yang bertindak untuk mencorakkan kebahagiaan dalam hidup kami.

Isteri saya tahu suaminya ada ego sebagai seorang lelaki. Jadi dia sentiasa ringankan mulut untuk menyatakan abang sayang minta maaf.

Diakhiri dengan bersalaman.

Saya tahu isteri saya suka dihargai sebagai seorang wanita. Jadi saya ringankan mulut untuk menyatakan sayang terima kasih.

Diakhiri dengan pelukan.

Begitulah kehidupan kami suami isteri.

Give and Take.

Malah tindakan ini bila sering kali dilihat oleh anak sulung kami. Ia juga turut memberi kesan pada dirinya.

Contoh bila berlakunya perebutan mainan dengan adik bongsunya. Lalu mengakibatkan adiknya itu menangis. Ketika itu dia mencontohi setiap perbuatan yang dia lihat dari kami ibu bapanya.

Apa tindakan darinya?

Hulurkan tangan untuk minta maaf. Kemudian dia peluk adiknya yang sedang menangis.

Begitulah kehidupan kami dalam rumahtangga. Kebahagiaan kami juga tidak datang secara percuma. Semuanya datang melalui nilai pengorbanan dari kami suami isteri.

Benar kata seorang hamba Allah

Dunia tempat untuk berpenat
Akhirat tempat untuk berehat

Kerana syurga yang menanti kita di akhirat sana bukannya percuma.

Justeru, sebelum kahwin tak kira lelaki atau perempuan carilah bekalan ilmu untuk menempuhi alam rumahtangga dan bukannya sibuk bercinta. Bila nak kahwin letaklah tujuan kahwin itu bukan untuk mencari kebahagiaan dan kesempurnaan manusia tapi untuk mencari redha Allah. Kepada wanita pilihlah lelaki secara terperinci dan bukannya pilih lelaki secara tangkap muat.

APA USAHA KITA SEBELUM KAHWIN, ITULAH KEBAHAGIAAN KITA SELEPAS KAHWIN. .

#SemuaKitaKenaUsahakan
#BahagiaBukannyaPercuma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *